Kanser tergolong di dalam kumpulan penyakit kronik dimana berlaku pembiakan sel yang tidak normal sehingga sel-sel ini mampu membiak di luar kawalan tubuh badan manusia. Sel-sel ini juga mampu untuk merebak ke kawasan setempat dan juga boleh berpindah ke tempat-tempat lain melibatkan organ yang jauh daripada tempat asal kanser tersebut.
Kanser memberi kesan yang besar kepada kehidupan manusia kerana ia boleh menyebabkan beban yang besar daripada semua aspek seperti kewangan, kesuburan, fungsi fizikal, psikologikal dan lain-lain lagi. Kanser bukan sahaja membebankan pesakit tetapi juga ahli keluarga dan orang di sekitar mereka. Kanser menyebabkan kematian lebih ramai manusia daripada kematian yang disebabkan oleh penyakit AIDs, Tibi dan Malaria walaupun digabungkan ketiga-tiganya sekali. Menurut laporan GLOBOCAN 2022, beban kanser lebih membebankan di negara-negara yang kurang maju, bukan sahaja dari segi insiden tetapi juga dengan kadar kematian akibat kanser.
Merokok, tabiat meminum alkohol dan faktor pemakanan adalah penyumbang utama beban kanser di seluruh dunia terutama di negara-negara berpendapatan rendah. Manakala di negara-negara berpendapatan tinggi, selain daripada rokok dan alkohol, kegemukan adalah punca utama terjadinya kanser. Merokok sahaja menyumbang 21% daripada keseluruhan kematian yang disebabkan oleh kanser.
Hampir 33% daripada kanser yang dikesan mempunyai kaitan dengan rokok, 20% dengan kegemukan, 16% berkaitan dengan jangkitan, 5% kurang aktiviti fizikal, 5% disebabkan oleh faktor pemakanan dan 2% dikaitkan dengan pendedahan sinaran ultra unggu.
BEBAN KANSER DUNIA DAN FAKTOR PENYUMBANG
International Agency for Research on Cancer (IARC) telah membuat jangkaan bahawa pada tahun 2030, akan terdapat 23.8 juta kes kanser baru dan 13 juta kematian akibat kanser akan dilaporkan setiap tahun. Ini adalah peningkatan yang agak ketara berbanding hanya 19.97 juta kes baru dan 9.7 juta kes kematian pada tahun 2022. Berdasarkan kepada data ini, kadar peningkatan kes-kes baru pesakit kanser adalah lebih kurang 2% setahun. Negara China, Amerika dan India dikatakan sebagai penyumbang paling besar bilangan kanser dan kematian akibat kanser. Jika dilihat daripada segi taburan kanser mengikut benua, benua Asia merangkumi 48.4% daripada jumlah kanser seluruh dunia diikuti dengan benua Eropah sebanyak 23.4% dan benua Amerika sebanyak 21%.Terdapat 3 sebab utama yang menyebabkan peningkatan kes kanser iaitu peningkatan jangka hayat manusia, merokok dan faktor gaya hidup (diet, kegemukan dan aktiviti fizikal).
Berhenti merokok adalah kaedah paling berkesan mencegah kanser dan mengurangkan kematian pada usia muda. Dianggarkan seramai 1.3 bilion orang merokok pada hari ini di seluruh dunia. Jika trend merokok dan peningkatan bilangan manusia berterusan seperti hari ini, bilangan perokok pada tahun 2030 dijangka meningkat kepada 2 bilion orang.
Berat badan yang berlebihan dan obesiti juga adalah penyumbang yang penting kepada risiko menghidap kanser. WHO menganggarkan bahawa bilangan manusia yang berlebihan berat badan adalah 2.3 bilion orang. Punca utama trend bilangan kes kegemukan ini adalah tabiat makan berlebihan, meningkatnya kemudahan makanan berkalori tinggi dan juga tabiat kurang aktif. Kegemukan dikaitkan dengan 13 jenis kanser termasuk kanser payudara, kanser rahim, kanser usus besar, kanser esofagus, kanser buah pinggang, kanser ovari dan lain-lain.
Jangkitan kronik juga salah satu punca terjadinya penyakit kanser seperti kanser serviks (jangkitan virus HPV), kanser perut (Helicobacter pylori), kanser hati (hepatitis B dan C) dan lain-lain. Jangkitan organisma kronik ini menyumbang kepada 18% daripada jumlah kanser yang dilaporkan di seluruh dunia dan negara membangun mempunyai 3 kali lebih tinggi bilangan kanser yang diakibatkan oleh jangkitan.
Peningkatan warga tua juga adalah penyumbang kepada peningkatan kadar kejadian kanser seluruh dunia. Purata jangka hayat manusia telah meningkat. Di antara negara-negara yang mempunyai purata jangka hayat tertinggi di dunia adalah Jepun (82.6 tahun), Hong Kong (82.2 tahun), Iceland (81.8 tahun), Switzerland (81.7 tahun) dan Australia (81.2 tahun).
Berdasarkan kepada laporan GLOBOCAN 2022, sejumlah 19.9 juta kes baru kanser(berbanding dengan 14.1 juta kes tahun 2012) dan 9.7 juta kematian (berbanding dengan 8.2 juta pada tahun 2012) telah dilaporkan pada tahun 2022 (Jadual 1.0). Kanser paru-paru kekal sebagai kanser nombor satu dunia, daripada segi bilangan kes (2.48 juta kes ataupun 12.4% daripada keseluruhan bilangan kanser) dan juga kematian akibat kanser (1.82 juta kematian ataupun 18.7% daripada keseluruhan). Lihat jadual 1.1
Jadual 1.0 : Ringkasan statistik kanser dunia 2022
| Statistik | Lelaki | Wanita | Lelaki dan Wanita |
| Jumlah populasi (juta) | 3972.747 | 3912.335 | 7885.070 |
| Bilangan kes baru | 10.312 million | 9.6649 million | 19.9764 million |
| Age standardized rate (ASR) | 212.6 | 186.3 | 196.9 |
| Risiko menghidap kanser sebelum usia 75 (%) | 21.8 | 18.5 | 20.0 |
| Jumlah kematian kanser | 5.4303 million | 4.3135 mill | 9.7438 mill |
| Risiko mati akibat kanser sebelum usia 75 (%) | 11.4 | 8.0 | 9.6 |
Kanser payudara adalah kanser kedua paling utama di dunia dengan 2.31 juta kes baru dilaporkan pada tahun 2022 ataupun 11.6% daripada keseluruhan bilangan kanser seluruh dunia. Kanser usus besar (colorectal) adalah kanser ketiga paling utama dengan bilangan kes baru berjumlah 1.93 juta, diikuti dengan kanser prostat (1.47 juta kes) dan kanser perut (0.87 juta kes).
Penyebab utama kematian kanser adalah kanser paru-paru (1.82 juta, 18.7%), kanser usus besar (0.903 juta kes, 9.3%), kanser hati (0.757 juta, 7.8%), kanser payudara (0.665 juta, 6.9%) dan kanser perut (0.659 juta, 6.8%).
Walaupun kanser payudara adalah kanser kedua paling utama di dunia, ia tidak menyumbang kepada bilangan kematian yang tinggi di mana hanya meliputi 6.9% daripada jumlah kematian keseluruhan akibat kanser. Ini mungkin disebabkan oleh pengesanan awal dan juga kaedah rawatan yang lebih berkesan. Tambahan pula, kanser payudara adalah kanser yang banyak terdapat di negara-negara maju. Negara-negara maju mempunyai kemudahan rawatan, peruntukan kewangan dan juga sumber manusia yang lebih ramai untuk melaksanakan program saringan dan rawatan yang lebih berkesan.
Jumlah kes baru kanser yang dilaporkan dalam kalangan kaum lelaki adalah 9.6 juta kes berbanding dengan 9.2 juta kes kanser dalam kalangan kaum wanita. Kanser Paru-paru adalah kanser paling utama kaum lelaki, manakala kanser payudara adalah kanser paling utama kaum wanita. Sepuluh kanser paling utama kaum lelaki dan kaum wanita ditunjukkan di dalam jadual 1.2 dan 1.3.
Jadual-jadual di bawah memaparkan jenis-jenis kanser utama yang dilaporkan di seluruh dunia.
Jadual 1.1 : 10 kanser paling utama bagi lelaki dan wanita di dunia pada tahun 2022 (GLOBOCAN 2022)
| Jenis Kanser | Bilangan kes baru | (%) | Bilangan kematian | Kadar Kematian (% dari semua jenis) |
| Paru-paru | 2,480,301 | 12.4 | 1,817,172 | 18.7 |
| Payudara | 2,306,897 | 11.6 | 665,684 | 6.9 |
| Usus Besar | 1,926,118 | 9.6 | 903,859 | 9.3 |
| Prostat | 1,466,680 | 7.3 | 396,792 | 4.1 |
| Perut | 968,350 | 4.9 | 659,853 | 6.8 |
| Hati | 865,269 | 4.3 | 757,948 | 7.8 |
| Tiroid | 821,173 | 4.1 | 47,485 | 0.5 |
| Serviks | 661,021 | 3.3 | 348,189 | 3.6 |
| Pundi Kencing | 613,791 | 3.1 | 220,349 | 2.3 |
| Limfoma Non-Hodgkin | 553,010 | 2.8 | 250,475 | 2.6 |
Jadual 1.2: 10 kanser paling utama kaum lelaki dunia (GLOBOCAN 2022)
| Jenis Kanser | Bilangan kes | ASR (per 100,000) |
| Paru-paru | 1,572,045 | 32.1 |
| Prostat | 1,467,854 | 29.4 |
| Usus Besar | 1,069,446 | 21.9 |
| Perut | 627,458 | 12.8 |
| Hati | 600,676 | 12.8 |
| Pundi Kencing | 471,293 | 9.3 |
| Esofagus | 365,225 | 7.6 |
| Limfoma Non-Hodgkin | 311,375 | 6.6 |
| Leukemia | 278,120 | 6.2 |
| Buah Pinggang | 277,800 | 5.9 |
| Jumlah bilangan kes | 9,566,825 | |
Jadual 1.3: 10 kanser paling utama kaum wanita dunia (GLOBOCAN 2022)
| Jenis Kanser | Bilangan kes | ASR (per 100,000) |
| Payudara | 2,296,840 | 46.8 |
| Paru-paru | 908,630 | 16.2 |
| Usus Besar | 856,979 | 15.2 |
| Serviks | 662,301 | 14.1 |
| Tiroid | 614,79 | 13.6 |
| Rahim | 420,368 | 8.4 |
| Perut | 341,326 | 6.0 |
| Ovari | 324,603 | 6.7 |
| Hati | 265,460 | 4.8 |
| Limfoma Non-Hodgkin | 242,014 | 4.6 |
| Jumlah bilangan kes | 9,175,141 | |
BEBAN KANSER MALAYSIA
Setakat rencana ini ditulis, data kanser terkini yang boleh diperolehi adalah melalui laporan National Cancer Registry bagi tahun 2017-2021. Laporan ini meliputi jumlah kes kanser yang dilaporkan selama 5 tahun.
Kanser telah menjadi penyebab ketiga kematian paling utama di Malaysia pada tahun 2022, meningkat daripada kedudukan ke-empat pada tahun 2021.
Sejumlah 168,823 kes kanser baru dilaporkan di dalam tempoh 5 tahun dari 2017-2021 berbanding dengan 115,236 kes pada tahun 2012-2016. Peningkatan bilangan kes ini ada juga disumbangkan oleh sistem pelaporan yang lebih cekap. Keseluruhannya risiko menghidap kanser dalam kalangan kaum wanita adalah lebih tinggi daripada kaum lelaki (ASR wanita: 12.7 per 100,000 dan ASR lelaki 11.9 per 100,000). Risiko sepanjang hayat (”lifetime risk”) untuk menghidap kanser bagi bagi lelaki dan wanita adalah 1 dalam 8. Insiden penyakit kanser adalah tertinggi dalam kalangan kaum Cina, diikuti oleh kaum India dan Melayu.
Tiga jenis kanser paling utama di Malaysia adalah kanser payudara, kanser usus besar dan kanser paru-paru. Jadual 1.4 di bawah adalah senarai 10 jenis kanser paling utama di Malaysia.
Jadual 1.4 : 10 kanser paling utama di Malaysia, 2017-2021
| Jenis kanser | Peratusan (%) |
| Payudara | 17.6% |
| Usus besar | 14.1% |
| Paru-paru | 10.1% |
| Limfoma | 5.2% |
| Hati | 4.9% |
| Prostat | 3.8% |
| Leukemia | 3.7% |
| Nasofarink | 3.1% |
| Uterus | 3.0% |
| Ovari | 2.8% |
Apabila kanser ini dipecahkan mengikut jantina, lima kanser paling utama bagi kaum lelaki adalah kanser usus besar, kanser paru-paru, prostat, hati dan limfoma. Dalam kalangan wanita pula, 5 kanser paling utama adalah kanser payudara, usus besar, paru-paru, rahim dan ovari. Jadual 1.5 dan jadual 1.6 menunjukkan senarai 10 kanser paling utama mengikut jantina.
Jadual 1.5: 10 kanser paling utama kaum lelaki (2017-2021)
| Jenis kanser | Peratusan (%) |
| Usus besar | 18.8% |
| Paru-paru | 16.0% |
| Prostat | 9.3% |
| Hati | 8.4% |
| Limfoma | 6.9% |
| Nasofarink | 5.1% |
| Leukemia | 4.9% |
| Kulit bukan melanoma | 3.5% |
| Perut | 3.4% |
| Pankreas | 3.0% |
Jadual 1.6: 10 kanser paling utama kaum wanita (2017-2021)
| Jenis kanser | Peratusan (%) |
| Payudara | 38.9% |
| Usus besar | 13.7% |
| Paru-paru | 7.4% |
| Rahim | 6.7% |
| Ovari | 6.2% |
| Seviks | 6.0% |
| Limfoma | 4.9% |
| Tiroid | 4.2% |
| Leukemia | 3.9% |
| Hati | 2.9% |
Kanser serviks menunjukkan kadar yang berkurangan daripada 7.6 per 100,000 wanita pada tahun 2007-2011, menurun kepada 6.2 per 100,000 wanita pada tahun 2017-2021. Ini adalah hasil kejayaan program saringan pap smear dan ujian HPV. Kadar ini dijangka akan menurun lebih rendah lagi hasil dari program vaksinasi HPV.
Laporan juga merekodkan peningkatan kanser di peringkat lewat, di mana peratusan kanser dikesan pada peringkat 3 dan 4 telah meningkat kepada 65.1% pada tahun 2017-2021 berbanding dengan 63.7% pada tahun 2012-2016.
KESIMPULAN
Kanser adalah penyakit kronik yang membawa beban besar kepada dunia. Ia menyebabkan beban terhadap fizikal, psikologikal, sosial dan ekonomi seseorang. Jumlah bilangan kes-kes kanser yang dilaporkan setiap tahun meningkat dari masa ke semasa. Banyak punca yang menyebabkan keadaan ini, di antaranya adalah bilangan populasi yang semakin tinggi, peratusan warga tua yang meningkat, pencemaran, kegemukan, gaya hidup dan lain-lain. Di peringkat global, pada tahun 2022, jumlah kes kanser baru yang dilapurkan hampir mencecah 20 juta kes dan kanser paru-paru kekal sebagai kanser nombor satu diikuti dengan kanser payudara.
Merokok, meminum alcohol dan faktor pemakanan adalah punca utama kanser, manakala jangkitan pula menyumbang 16% dari punca kanser di seluruh dunia. Mengikut laporan National Cancer Registry Malaysia, 2017-2021, kanser adalah penyebab ketiga kematian paling utama di Malaysia. Tiga kanser paling utama di Malaysia adalah kanser payudara, usus besar dan paru-paru. Kanser paru-paru adalah kanser paling utama dalam kalangan kaum lelaki, manakala kanser payudara dalam kalangan wanita. Beban kanser boleh dikurangkan dengan tidak merokok, mengurangkan berat badan, menjaga pemakanan dan melakukan saringan kanser.
RUJUKAN
- GLOBOCAN 2022
- Summary report of Malaysia National Cancer Registry Report 2017-2021
- International Agency for Research in Cancer (IARC), WHO. (https://gco.iarc.fr/today/en)
- Kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia: Penerbitan summary of the Malaysia National Cancer Registry Report 2017-2021
- Bray F, Moller B. Predicting the future burden of cancer. Nat Rev Cancer 2006;6(1):63-74
- Danaei G, Hoorn SV, Lopez AD, et al. Causes of cancer in the world : comparative risk assessment of nine behavioural and environmental risk factors. Lancet 2005;366:1784-93
- Ferlay J, Shin HR, Bray F, et al. Estimates of worldwide burden of cancer in 2008 : GLOBOCAN 2008. International Journal of Cancer 2010, DOI:10.1002/ijc.25516
- IARC GLOBAN 2008 website : http://globocan.iarc.fr/
- Sankaranarayanan R, Ferley J. Worldwide burden of gynaecological cancer : The size of the problem. Best Practice & Research Clinical Obstetrics & Gynaecology 2006;20(2):207-225
- Thun MJ, DeLancey JO, Center MM, et al. The global burden of cancer : priorities for prevention. Carcinogenesis 2010;31(1):100-110
- Malaysian National Cancer Registry Report, 2007-2011, Ministry of Health.