Zarulshah Putra Ghafurullah dilahirkan sebagai anak yang normal seperti anak-anak yang lain. Namun, takdir hidupnya berubah pada bulan April 2023 apabila Zarul didiagnosis dengan kanser retinoblastoma tahap 4. Kejadian ini berlaku ketika kami sedang menanti kedatangan bulan Ramadan. Apabila pakar memberitahu tentang penyakit Zarul, kami sukar untuk mempercayainya kerana pada waktu itu, Zarul dalam keadaan sihat. Sejujurnya, kami mengambil masa yang panjang untuk menerima kenyataan bahawa Zarul menghidap penyakit ini. Namun, dengan sokongan dan nasihat keluarga, alhamdulillah, kekuatan itu datang semula.
Doktor Teh menerangkan bahawa Zarul perlu menjalani enam kitaran kemoterapi, radioterapi, dan pembedahan. Selama dua bulan, kami berada di Wad 10B, menjalani dua rawatan kemoterapi di HTA dan tiga rawatan kemoterapi di Hospital Ipoh. Namun, untuk rawatan kemoterapi yang keenam, doktor menggantikannya dengan rawatan radioterapi selama 25 kali. Kami amat bersyukur kerana diberikan tempat berteduh di rumah kanser sepanjang tempoh rawatan dan rawatan susulan.
Zarul masih belum benar-benar memahami keadaan dirinya. Dia hanya tahu bahawa matanya telah dicabut. Setiap kali mata perlu dibersihkan, dia akan bertanya soalan-soalan yang sukar untuk kami jawab. Tetapi kami tetap memberikan jawapan yang akan dia ingat sepanjang hayat. Selepas pembedahan pertama, ketika mata palsu Zarul belum dipasang, dia akan melihat dirinya di cermin dan bertanya, “Mana mata abang, mama? Bila mata abang nak pasang? Bila Allah nak bagi mata abang balik, mama?” Selalunya saya akan menjawab, “Allah sayang mata abang, sebab itu Allah jaga mata abang.” Soalan-soalan itu berterusan, seperti “Mama sayang abang tak?”
Saya masih ingat selepas menjalani pembedahan, mata palsu Zarul belum dipasang, ramai yang melihat Zarul dalam keadaan yang menyedihkan. Namun, sebagai seorang ibu, saya perlu menghadapi segala pandangan dan perspektif orang sekeliling. Kadang-kadang, saya bimbang memikirkan masa depan Zarul. Bagaimana kehidupannya akan datang? Bagaimana penerimaan masyarakat terhadap anak-anak yang menghidap kanser? Kadang-kadang, kita berasa sukar untuk menjelaskan keadaan anak kita kepada orang ramai.
Pengalaman yang paling berharga adalah apabila kita melihat anak kita kembali sihat. Percayalah, apa yang berlaku adalah ujian dari Allah, kerana kita hanyalah pinjaman-Nya. Kata-kata dan nasihat daripada keluarga adalah kekuatan yang terus saya pegang. Nasihat saya, percayalah pada Allah, kerana Dia Maha Mengetahui dan Dia tahu apa yang terbaik untuk kita. Kepada ibu bapa di luar sana, jangan cepat mengalah. Berjuang bersama anak-anak kita. Saya percaya tiada siapa yang ingin anak mereka sakit, tetapi ini adalah ujian dari Allah buat kita.
Harapan saya adalah agar masyarakat luar sana dapat menyayangi anak-anak pesakit kanser. Mereka juga memerlukan perhatian dan kasih sayang seperti kanak-kanak yang lain. Kita sering terdedah kepada keadaan anak-anak yatim dan golongan asnaf, namun anak-anak pesakit kanser juga memerlukan sokongan. Jika boleh, saya ingin semua orang tahu bahawa anak-anak pesakit kanser juga memerlukan bantuan, cuma kita kadang-kadang tidak tahu bagaimana untuk membantu mereka.
Kita sering melihat acara-acara yang melibatkan anak-anak yatim dan golongan asnaf, namun kurang pendedahan mengenai anak-anak pesakit kronik, terutama anak-anak pesakit kanser. Apabila saya berada di sekeliling anak-anak pesakit kanser, saya menyedari bahawa mereka memerlukan perhatian dan bantuan yang lebih.