Dalam semangat bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dengan tajaan Group Compliance Division (GCD) SME Bank telah menganjurkan “Projek Bubur Lambuk NCSM” yang diadakan pada 18 Ramadan bersamaan 19 Mac 2025 di Yayasan Jantung Malaysia. Program ini turut disertai dan mendapat resepi bubur lambuk yang sesuai dengan diet pesakit kanser daripada Kumpulan Sokongan Pesakit Kanser, Pink Unity.
Sebanyak 950 bekas bubur lambuk telah dimasak secara gotong-royong dan diagihkan kepada empat hospital serta sebuah kolej, iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, Institut Kanser Negara, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Tunku Azizah, serta Kolej IJN. Agihan ini bertujuan untuk membawa sedikit keceriaan kepada pesakit kanser yang menerima rawatan di fasiliti kesihatan tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Pematuhan Kumpulan SME Bank, En. Rosehamidi Kamaruddin, “Kami harapkan dengan sumbangan bubur lambuk ini dapat memberi sedikit kegembiraan kepada para pesakit kanser di hospital-hospital yang kami berikan.”
Presiden NCSM, Dato’ Dr. Saunthari Somasundaram juga menyatakan bahawa acara ini merupakan salah satu program tahunan NCSM yang amat bermakna. “Acara ini adalah sebahagian daripada acara tahunan NCSM dan tahun ini dengan tajaan dari GCD SME membolehkan sumbangan diberikan kepada ramai pesakit. NCSM berterima kasih kepada GCD SME dan Pink Unity dalam sama-sama menjayakan usaha murni ini,” katanya.
Program ini bukan sahaja memperkukuhkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat tetapi juga menunjukkan keprihatinan terhadap pesakit kanser yang memerlukan sokongan. Diharapkan usaha sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan dan kebajikan pesakit kanser di negara ini.