Kolum | Bagaimana Kanser Terjadi dan Karsinogen

Kanser tergolong di dalam kumpulan penyakit kronik dimana berlaku pembiakan sel yang tidak normal sehingga sel-sel ini mampu membiak di luar kawalan tubuh badan manusia. Sel-sel ini juga mampu untuk merebak ke kawasan setempat dan juga boleh berpindah ke tempat-tempat lain melibatkan organ yang jauh daripada tempat asal kanser tersebut. Rencana kali ini membincangkan bagaimana kanser boleh terjadi dan kaedah mengesahkan penyakit kanser.

Kanser Berasal Dari Sel Tubuh Manusia Itu Sendiri

Tahukah anda bahawa semua jenis kanser berasal daripada sel-sel tubuh badan manusia itu sendiri. Kanser boleh bermula daripada mana-mana sel badan. Disebabkan terdapat pelbagai jenis sel di dalam tubuh manusia, maka begitu jugalah jenis-jenis kanser.

Sel yang normal menjalani proses pembiakan dan kematian. Kadar pembiakan dan kematian dipastikan seimbang oleh badan.Terdapat faktor yang memastikan keseimbangan ini iaitu faktor perencat pembiakan sel (“tumour suppresor”) dan faktor peransang pembiakan sel (“proto-oncogene”). Kedua-dua faktor ini berasal dari baka/gen yang terdapat dalam DNA sel-sel yang normal. DNA adalah molekul yang berbentuk spiral terletak dalam nukleus sel. Contoh gen perencat tumor adalah P53 dan BRCA. Manakala “Ras gene” adalah contoh proto-oncogene.

Apabila gen faktor perencat (“tumour suppressor”) atau peransang (“proto-oncogene”) ini rosak, proses keseimbangan akan terganggu dan sel membiak di luar kawalan. Proses kerosakan gen ini dinamakan mutasi. Kejadian mutasi berlaku sepanjang masa tetapi badan kita yang sihat dapat memperbaikinya. Hanya individu tertentu sahaja yang hilang kemampuan ini dan mereka inilah yang nantinya akan menghidap kanser. Mutasi terhadap gen perencat tumour akan meningkatkan kadar pembiakan sel dan menurunkan kadar kematian sel (apoptosis), akibatnya sel bertukar menjadi kanser. Manakala mutasi terhadap gen proto-oncogene akan menukarkannya kepada oncogene yang meransang pembiakan sel dan memberi kesan yang sama dengan mutasi gen perencat tumor.

Proses perubahan daripada sel normal kepada sel kanser berlaku selepas terjadinya mutasi yang berulang-ulang dan berlaku di dalam banyak peringkat. Proses ini adalah sangat kompleks dan dikenali sebagai KARSINOGENESIS. Kadar kejadian mutasi meningkat dengan usia, sebab itu orang tua lebih mudah mendapat kanser berbanding orang yang muda.

Mutasi gen ini boleh disebabkan oleh faktor dalaman dan faktor luaran. Faktor yang menyebabkan mutasi yang datang dari luar dinamakan KARSINOGEN dan ini merangkumi 70% dari penyebab mutasi. Manakala 30% lagi adalah faktor dalaman yang tidak boleh dikawal oleh manusia. Contoh faktor luaran atau karsinogen yang boleh menyebabkan kanser adalah asap rokok, sinar ultraungu dari matahari, bahan kimia penyebab kanser, jangkitan virus/bakteria, toksin, radiasi dan lain-lain.

Manusia tidak boleh mengelak daripada terdedah kepada karsinogen tetapi badan mereka dan gaya hidup mereka boleh membantu mengurangkan risiko kanser.

Mutasi gen boleh juga diturunkan kepada anak-anak dan menyebabkan anak-anak mempunyai risiko untuk mendapat kanser. Kanser jenis ini dinamakan Kanser Keturunan (“Hereditary Cancer Syndrome”). Tetapi hanya 10% sahaja kanser manusia adalah daripada jenis ini, 90% lagi adalah kanser yang boleh menyerang sesiapa sahaja. Jadi jangan salahkan keturunan kalau menghidap kanser. Kanser juga tidak boleh berjangkit, jadi jangan menjauhi pesakit kanser kerana takut dijangkiti.

Karsinogen

Seperti yang telah saya sebutkan tadi, kanser disebabkan oleh kelainan ataupun mutasi gen/baka yang mengawal fungsi pembiakan sel. Faktor ataupun agen yang menyebabkan kerosakan ini dinamakan karsinogen. Sebahagian kecil mutasi gen boleh diturunkan kepada generasi seterusnya. Walau bagaimanapun, majoriti kes mutasi ini adalah disebabkan oleh pendedahan kepada faktor-faktor luar yang wujud dalam alam sekitar. Faktor-faktor tersebut dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu:

  1. Faktor gaya hidup seperti makanan, penggunaan tembakau, aktiviti fizikal dan lain-lain.
  2. Faktor yang wujud secara semulajadi seperti sinaran ultraungu, gas radon, jangkitan virus serta bakteria dan lain-lain.
  3. Rawatan perubatan contohnya pengambilan ubat hormon tanpa pengawasan doktor dan ubat yang menekan sistem pertahanan badan boleh menyebabkan kanser. Ubat antikanser tertentu pada dos yang tinggi dan rawatan radioterapi boleh juga menjadi penyebab kanser yang baru tetapi ini sangat jarang berlaku.
  4. Pendedahan kepada faktor-faktor di tempat kerja seperti asbestos.
  5. Pendedahan kepada faktor-faktor yang wujud di rumah seperti chloroform yang terkandung di dalam air minuman, talc di dalam bedak, formaldehyde, agen-agen karsinogen di dalam produk kosmetik, sabun, syampu, pencuci dan lain-lain.
  6. Pencemaran.

Ahli sains mengenal bahan-bahan karsinogen melalui kajian ke atas haiwan dan juga lapisan sel di dalam makmal. Manakala karsinogen juga dikenal pasti melalui kajian epidemiologi ke atas manusia dan mengaitkan kanser tertentu dengan penyebabnya berdasarkan kepada kadar kejadian kanser dan kaitannya dengan pendedahan kepada bahan-bahan tertentu.

Berdasarkan kepada maklumat di atas, bahan-bahan yang dilabelkan sebagai karsinogen ini tidaklah tepat seratus peratus, ianya lebih kepada kemungkinan semata-mata. International Agency for Research on Cancer (IARC) adalah organisasi di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang bertanggungjawab di dalam banyak polisi dan kajian yang berkaitan dengan kanser. Di dalam dokumen monograph IARC, karsinogen telah dikategorikan kepada 5 kumpulan berdasarkan kepada kaedah yang dinyatakan di atas iaitu:

Kumpulan 1         : Carcinogenic to humans

Kumpulan 2A      : Probably carcinogenic to humans

Kumpulan 2B       : Possibly carcinogenic to humans

Kumpulan 3         : Unclassifiable as to carcinogenicity in human

Kumpulan 4         : Probably not carcinogenic to humans

Kebanyakan agen-agen yang diuji tergolong di dalam kumpulan 2, 3 dan 4. Hanya lebih kurang 120 agen sahaja yang dikategorikan di dalam kumpulan 1. Jumlah agen yang dinilai setakat ini adalah 1,067 dan bilangannya bertambah dari semasa ke semasa. Di samping itu, ada juga perubahan dari segi kedudukan di dalam kumpulan. Terdapat agen yang diturunkan dan ada yang dinaikkan.

Jadual 1: Kategori karsinogen dan contoh

KUMPULANCONTOH
Kumpulan 1Carcinogenic to humansTrichloroethylene, Alflatoxins, Alkohol, Aluminium production, 4-Aminobiphenyl, Areca nut, Arsenic, Asbestos, Auramine, Benzene, Formaldehyde, High Risk HPV, Helicobacter pylori, Hepatitis B, Hepatitis C, HIV, Tobacco smoking, UV light etc
Kumpulan 2AProbably carcinogenic to humansAcrylamide, Androgenic steroid, Adriamycin, Azacitidine, Chloramphenicol, Captafol, Biomass fuel (primarily wood), Malathion, Red meat, Trichloroethylene etc
Kumpulan 2BPossibly carcinogenic to humansAcrylonitrile, Aloe vera (whole leaf extract), para-Aminoazobenzene, Amsacrine, Anhraquinone, Aramite, Carbazole etc
Kumpulan 3Unclassifiable as to carcinogenicity in humanAcrylic acid, Agaritine, Benzopyrene, Bisulfites, Bromoform, Cafeine,Captan, Xylenes,Vinyl toluene  etc
Kumpulan 4Probably not carcinogenic to humansCuma ada 1 agen yang disenaraikan

Kategori karsinogen yang dikeluarkan oleh IARC ini walaupun digunakan dengan meluas, ianya tidak terkecuali daripada kritikan  kerana ada yang berpendapat bahawa senarai ini mengelirukan. Ada yang berpendapat bahawa IARC menggunakan kaedah yang ”outdated” untuk pengkelasan ini dan tidak mengambil kira kuantiti serta masa pendedahan. Senarai ini hanyalah sebagai panduan dan boleh berubah apabila maklumat lanjut diperolehi dari masa ke semasa.